Perang Mu'tah - Gugurnya3 Syahid Sahabat Besar Rasulullahﷺ


Perang Mu'tah adalah perang terbesar dalam Islam, berlaku pada tahun 8 Hijrah bersamaan 629 Masihi. Jumlah pasukan Perang Mu'tah adalah 3,000 orang Islam untuk menghadapi tentera Rom Byzantine seramai 200,000 orang tentera.

Perang Mu’tah: Sejarah dan Garis Masa

Artikel ini akan membincangkan Perang Mu’tah, salah satu peperangan yang memperlihatkan keberanian umat Islam melawan kuasa besar Rom Timur (Byzantine).

Bilakah Perang Mu’tah Berlaku?

Perang Mu’tah berlaku sekitar tahun kelapan Hijrah. Peperangan ini melibatkan kaum muslimin melawan tentera Rom Timur. Peperangan ini berlaku di Mu’tah, suatu tempat yang terletak di antara perbatasan negara Syria dan Jordan.

Sebab Berlakunya Perang Mu’tah

Rasulullah telah menghantar utusan baginda yang bernama Harith bin Umair Azdi رضي الله عنه  ke Rom Timur untuk menyebarkan risalah Islam. Namun, Harith bin Umair Azdi رضي الله عنه  telah ditangkap oleh gabenor Mu’tah yang bernama Sharjeel bin ‘Amr Ghassani dan diserahkan kepada Kaisar Rom, bernama Heracuilus. Kesannnya, Harith bin Umair Azdi رضي الله عنه  telah dipancung. Mendengar khabar tersebut,  Rasulullah menyiapkan tentera kaum muslimin untuk menuntut bela kematian Harith bin Umair Azdi رضي الله عنه , selain ingin menyebarkan kekuasaan Islam ke negeri Syam (Syria).

Persiapan Perang Kaum Muslimin

Seramai 3000 orang tentera muslimin disiapkan untuk menghadapi Perang Mu’tah.  Rasulullah telah melantik tiga pemimpin tentera kaum muslimin, iaitu Zaid bin Harithah رضي الله عنه , Ja’far bin Abu Talib رضي الله عنه dan Abdullah bin Rawahah رضي الله عنه. Kemudian  Rasulullah berpesan kepada pasukan kaum muslimin agar tidak membunuh kanak-kanak, perempuan, orang tua dan orang yang beribadah di gereja serta tidak menebang pokok dan merobohkan bangunan.

Tentera Islam bergerak ke utara dan singgah berehat di suatu tempat yang bernama Ma’an. Kemudian, mereka mendengar khabar bahawa pasukan Rom yang dipimpin oleh Raja Heracuilus telah menyiapkan seramai 100 000 orang tentera di Ma’ab. Kemudian, kabilah-kabilah Arab yang terdiri daripada kabilah Lakhim, Jazan, Bahram dan Bili Qais turut menghantar 100 000 orang tentera untuk menyertai pasukan Rom.

Kerana tidak menyangka bilangan pasukan Rom mencecah sehingga 200 000 orang, tentera Islam mengadakan musyawarah selama 2 malam berturut-turut. Sesetengah mereka mencadangkan agar surat dihantar kepada  Rasulullah untuk memaklumkan bilangan dan kekuatan musuh, agar bantuan atau arahan lain diberikan oleh  Rasulullah.

Namun, cadangan tersebut ditentang oleh Abdullah bin Rawahah رضي الله عنه. Beliau berkata dengan lantang, “Wahai orang-orang Muslim, sesungguhnya apa yang kalian takuti itu adalah sesuatu yang kita sedang mencari selama ini, iaitu mati syahid di jalan Allah SWT melalui pertempuran yang dihadapi. Kita berperang jangan terlalu memikirkan banyaknya jumlah musuh yang akan dihadapi, melainkan berperang demi agama Allah, yang dengan niat seperti itu Allah pasti akan memuliakan kita, maka ayuh bangkit untuk berperang. Di depan sana ada dua kemenangan besar yang akan kalian peroleh, iaitu mati syahid atau menang dalam perang ini”. Dengan ucapan tersebut, tentera Islam memutuskan untuk bertempur dengan pasukan Rom dan bergerak menuju ke Mu’tah.

Perang Mu’tah Tercetus 

Dalam menyusun strategi peperangan, unit kanan tentera kaum muslimin dipimpin oleh Qutbah bin Qutadah al-Uzri, manakala unit kiri diketuai oleh Ubadah bin Malik al-Ansari رضي الله عنه . Ketika sampai di Mu’tah, pasukan Rom yang diketuai oleh Raja Heractilus telah bersiap sedia dengan 200 000 orang tentera untuk memulakan peperangan.

Peperangan Mu’tah menyaksikan keberanian panglima-panglima Islam yang mengetuai kaum muslimin. Zaid bin Harithah رضي الله عنه terus menghayunkan pedangnya ke arah musuh dan mengibarkan panji-panji Islam dengan berani. Apabila tubuhnya ditikam oleh musuh, beliau menyerahkan panji-panji Islam kepada Ja’far bin Abu Talib رضي الله عنه sebelum gugur sebagai seorang yang syahid.

Ja’far bin Abs Mutalib رضي الله عنه berperang dengan berani. Apabila tangan kanannya dipotong oleh musuh, beliau memegang panji Islam dengan tangan kirinya. Apabila tangan kirinya juga terputus, beliau mengapit bendera itu dengan kedua-dua belah lengannya. Apabila dikepung oleh musuh, beliau juga gugur syahid dengan kesan tikaman sebanyak 50 liang.

Kemudian, panji Islam diambil alih oleh Abdullah bin Rawahah رضي الله عنه . Abdullah ibn Rawahah رضي الله عنه yang dikenali sebagai penyair Islam, memacu kudanya dan bersyair;

Duhai jiwa ku!

Ku bersumpah,

Kau pasti menghadapi kerelaan cabaran,

Kiranya sudah orang mencapainya,

Kenapa kau berlengah?

Membenci syurga Allah.

Kemudian, beliau terjun dari kudanya, memerangi musuh sehingga mati syahid.

Panji Islam kemudian dipegang oleh Thabit bin Arqam رضي الله عنه, sekaligus meletakkan beliau sebagai ketua tentera Islam yang sementara. Atas perbincangan dan persetujuan kaum muslimin, Khalid bin al-Walid telah dilantik sebagai pemimpin tentera Islam yang baharu.

Kepahlawanan Khalid Bin Al-Walid

Perang Mu’tah merupakan perang pertama yang disertai oleh Khalid bin al-Walid رضي الله عنه selepas memeluk Islam. Terkenal dengan kepahlawanan dan kebijaksanaannya dalam berperang, beliau telah dilantik sebagai panglima tentera Islam yang baharu, menggantikan tiga panglima kaum muslimin yang telah gugur syahid.

Dalam Perang Mu’tah, Khalid Al Walid رضي الله عنه memegang panji Islam dan terus membunuh musuh dengan berani. Diriwayatkan bahawa 9 bilah pedang beliau telah patah dalam peperangan tersebut dan hanya pedang Yamaniahnya sahaja yang tinggal. Menjelang senja, kedua-dua pasukan Islam dan pasukan Rom menghentikan peperangan, kerana kedua-dua pasukan bersetuju untuk tidak berperang pada waktu malam.

Pada malam itu, Khalid memikirkan strategi peperangan. Beliau sedar bahawa dengan jumlah pasukan musuh yang ramai, mundur dari medan perang merupakan satu-satunya cara untuk menyelamatkan tentera Islam. Namun, taktik mundur juga perlu disusun rapi untuk mengelakkan pihak musuh dari mengejar dan membunuh tentera Islam. Justeru, beliau menyusun semula tentera Islam kepada bilangan yang kecil dan setiap satunya membentuk satu garis yang memanjang. Hal ini dilakukan supaya tentera Islam terlihat ramai dan dapat menggentarkan pasukan Rom.

Pada keesokan paginya, tentera Rom yang melihat barisan tentera Islam yang panjang menyangka bahawa pasukan bantuan telah datang untuk menyertai tentera Islam. Mereka mula berasa gerun dan takut. Sambil berperang, Khalid perlahan-lahan membawa tentera Islam berundur tetapi masih mengekalkan struktur tentera di posisi masing-masing. Pasukan Rom pula tidak memburu tentera Islam kerana menyangka bahawa tentera Islam menggunakan taktik untuk memerangkap mereka di gurun padang pasir yang luas. Oleh itu, tentera Islam berhasil untuk mundur dengan selamat dan pulang ke Madinah.

Dalil Yang Berkaitan Dengan Perang Mu’tah 

Diriwayatkan bahawa seramai 12 orang tentera Islam yang syahid dalam Perang Mu’tah, manakala bilangan yang mati dalam kalangan tentera Rom dijangkakan lebih tinggi. Khabar tentang syahidnya ketiga-tiga panglima tentera Islam, Zaid bin Harithah رضي الله عنه , Ja’far bin Abu Talib رضي الله عنه dan Abdullah bin Rawahah رضي الله عنه telah sampai kepada  Rasulullah sebelum pasukan kaum muslimin tiba di Madinah dan menimbulkan duka kepada baginda dan para sahabat yang lain. Selepas Perang Mu’tah juga, Khalid al-Walid telah mendapat gelaran sebagai Saifullah (pedang Allah). Hadith yang menceritakan perkara tersebut berbunyi:

عَنْ أَنَسٍ ـ رضى الله عنه ـ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم نَعَى زَيْدًا وَجَعْفَرًا وَابْنَ رَوَاحَةَ لِلنَّاسِ، قَبْلَ أَنْ يَأْتِيَهُمْ خَبَرُهُمْ فَقَالَ ‏ “‏ أَخَذَ الرَّايَةَ زَيْدٌ فَأُصِيبَ، ثُمَّ أَخَذَ جَعْفَرٌ فَأُصِيبَ، ثُمَّ أَخَذَ ابْنُ رَوَاحَةَ فَأُصِيبَ ـ وَعَيْنَاهُ تَذْرِفَانِ ـ حَتَّى أَخَذَ الرَّايَةَ سَيْفٌ مِنْ سُيُوفِ اللَّهِ حَتَّى فَتَحَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ ‏”‏‏.‏

Maksudnya: Anas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah mengkhabarkan kepada mereka tentang kesyahidan Zaid, Ja’far dan Abdullah bin Rawahah sebelum khabar mengenai kematian mereka sampai. Rasulullah SAW bersabda, “Zaid mengambil bendera (sebagai panglima tentera) dan syahid, kemudian Ja’far mengambilnya dan syahid, dan kemudian Abdullah bin Rawahah mengambilnya dan syahid. Pada ketika itu, Rasulullah SAW menitiskan air mata. Baginda berkata lagi, “Kemudian bendera diambil oleh seorang pedang di antara pedang-pedang Allah (Khalid al-Walid) dan Allah memberikan kemenangan kepada mereka”.

(Hadith Riwayat Bukhari)

Perang Mu’tah telah memberi impak yang besar terhadap umat Islam. Walaupun tentera Islam tidak dapat menuntut bela, orang-orang Arab berasa takjub dengan keberanian mereka melawan tentera Rom yang merupakan kuasa besar pada ketika itu. Tambahan pula, tentera Islam berhasil pulang dengan bilangan kematian yang sedikit. Diriwayatkan bahawa kabilah-kabilah Arab yang memusuhi Islam berpaling memeluk Islam selepas menyaksikan keberanian tentera Islam memperjuangkan agama melawan musuh Allah dalam Perang Mu’tah.

Rujukan

  1. Tazkiyyatur Rohmah. 2020. Strategi peperangan Khalid bin Walid dalam Perang Mu’tah dan Perang Yarmuk. Tesis Sarjana, Institut Agama Islam Negeri Purwokerto, Indonesia.
  2. Sunnah.com. Sahih al-Bukhari: The expedition of Mu’tah to the land of Syria.
  3. Sirah / By 

  Rasulullah

Rasulullah

رضي الله عنه

  سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى‎ 

رضياللهعنه

  Allah

 Rasulullah

 Rasulullah

Rasulullah

رضي الله عنه

  سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى‎ 

رضياللهعنه

  Allah

 Rasulullah


Comments